Komander dalam Pemberontakan Syria Besar Hasan al-Kharrat

Pengambilan dan konfrontasi awal

Satu pemberontakan menentang pemerintahan Perancis telah dilancarkan pada pertengahan tahun 1925 oleh sheikh (ketua puak) Duruzi, Sultan Pasha al-Atrash di selatan pergunungan Gunung al-Duruzi.[ruj 6] Ketika pasukan al-Atrash meraih kemenangan pertahanan terhadap tentera Syam Perancis, nasionalis Syria telah diilhamkan lalu pemberontakan merebak ke arah utara, menuju perkampungan Damsyik dan kawasan yang lain.[ruj 6] Al-Bakri yang merupakan ketua perhubungan antara al-Atrash dan pergerakan pemberontak yang muncuk di Damsyik dan Ghouta.[ruj 6] Ghouta ialah kawasan dataran yang subur di sekeliling Damsyik,[ruj 15][2] dan kebun-kebun dan laluan airnya yang luas menyediakan perlindungan untuk pemberontak dan sebuah pangkalan untuk membolehkan mereka menyerbu Damsyik.[3] Pada bulan Ogos, al-Bakri meminta al-Kharrat untuk menyertai kebangkitan tersebut. Menurut Provence, al-Kharrat merupakan orang yang "sesuai" untuk kerja itu, mempunyai "orang tempatan yang mengikut pemuda, terkenal di luar kawasan, hubungan yang baik dan terkenal dengan kekuatannya".[ruj 14] Kumpulan pejuang yang beliau ketuai dikenali sebagai isabat al-Shawaghirah (kumpulan al-Shaghour).[ruj 6] Walaupun dinamakan sempena kawasan al-Kharrat, kumpulan tersebut termasuklah 20 qabadayat dan rombongan bersenjata mereka berasal dari kawasan-kawasan kejiranan Damsyik dan perkampungan berdekatan.[ruj 16][lower-alpha 2] Kawasan operasi utama beliau ialah persekitaran al-Shaghour dan hutan al-Zur di timur Ghouta.[ruj 13] Melalui perikatan dengan seorang Sufi (ketua agama), al-Kharrat membawa dimensi perang suci Islam ke sebahagian besar pemberontakan sekular, sesuatu yang tidak dialu-alukan oleh beberapa orang yang terlibat.[ruj 14]

Pemberontakan di Ghouta diketuai oleh sheikh Duruzi, Sheikh Izz al-Din al-Halabi (berdiri, lima dari kiri), 1925. Pemberontakan Al-Kharrat beroperasi terutamanya di Ghouta.

Al-Kharrat memulakan operasi gerila pada September, menyasarkan angkatan Perancis yang bertugas di timur dan selatan Ghouta.[ruj 16] Populariti beliau meningkat ketika beliau mengetuai serangan waktu malam menentang Perancis di Damsyik, di mana beliau menyerang pasukan peronda lalu mengambil tebusan tentera.[ruj 1] Di al-Shaghour, Sarouja dan Jazmatiyya, al-Kharrat dan kumpulannya membakar kesemua bangunan yang dipegang oleh pihak Perancis.[ruj 1] Pada minggu pertama bulan Oktober, 60 gendarme Perancis dihantar ke Ghouta untuk menangkap al-Kharrat dan pasukan pejuangnya.[ruj 3] Pasukan gendarme tersebut ditempatkan di rumah ketua kampung al-Malihah.[ruj 3] Pada waktu petang, pemberontak menyerang kediaman itu, membunuh seorang gendarme lalu menangkap yang lain; banduan-banduan itu akhirnya dikembalikan tanpa kecederaan.[ruj 3]

Pada 12 Oktober, pasukan Perancis yang didukung oleh kereta kebal, artileri dan sokongan udara melancarkan operasi untuk mengepung dan menyingkirkan pasukan pemberontak al-Kharrat di hutan al-Zur.[ruj 17]. Pasukan al-Kharrat telah diberitahu oleh para petani al-Mahani mengenai kedatangan tentera Perancis.[ruj 17] Ditempatkan di antara pokok-pokok, pemberontak menggunakan senapang menentang pasukan Perancis. Akhirnya, tentera Perancis tidak dapat memaksa pasukan pemberontak untuk menyerah dan berundur.[ruj 17]

Ketika pasukan tentera Perancis berundur ke al-Malihah, mereka merampas kampung itu lalu membakarnya. Para pegawai risikan Perancis mewajarkan hukuman kolektif itu terhadap al-Malihah sebagai tindak balas terhadap penangkapan gendarme pada minggu sebelumnya oleh pemberontak; tentera Perancis mendakwa seorang lelaki muda dari al-Malihah telah memberitahu pasukan al-Kharrat mengenai kehadiran mereka di perkampungan.[ruj 18] Walaupun mereka tidak dapat menyergap al-Kharrat dan pasukannya secara langsung, pasukan Perancis membunuh sekitar 100 orang awam dari perkampungan Ghouta.[ruj 18] Mayat-mayat mereka dibawa ke Damsyik dan 60 jasad terbunuh yang digambarkan oleh Perancis sebagai "penyamun" telah ditunjukkan.[ruj 18]

Pertempuran di Damsyik dan operasi di Ghouta

Jeneral Maurice Sarrail, Pesuruhjaya Tinggi Mandat Perancis di Syria

Didorong oleh tindakan tentera Perancis di Ghouta, al-Bakri merancang untuk menawan kubu kota Damsyik, di mana angkatan Perancis tertumpu, dan Istana Azm, di mana pesuruhjaya tinggi Perancis di Syria Jeneral Maurice Sarrail akan menetap pada 17 hingga 18 Oktober (Sarrail biasanya beribu pejabat di Beirut).[ruj 18] Tugas pesuruhjaya tinggi adalah sebagai pentadbir untuk seluruh Syria bagi pihak Perancis dan memiliki kuasa mutlak.[4] Unit pemberontak yang aktif di Damsyik pada waktu itu merupakan 'isabat al-Kharrat dan pasukan pejuang Druze dan pemberontak dari kawasan al-Midan dan Ghouta.[ruj 19] Untuk mengimbangi kekurangan dari segi kekuatan, al-Bakri mengirim surat kepada Sultan al-Atrash untuk memohon bantuan.[ruj 18] Al-Atrash menjawab bahawa beliau sedang membuat operasi di Hauran, tetapi akan menghantar pasukannya kepada pemberontak Damsyik setelah urusan di situ selesai.[ruj 18] Sebelum beliau menerima jawapan daripada al-Atrash, al-Bakri memutuskan untuk meneruskan operasi.[ruj 18]

Pada 18 Oktober, al-Kharrat mengetuai empat puluh orang pemberontak ke al-Shaghour dari perkuburan lama yang terletak bersebelahan dengan selatan pintu masuk Damsyik lalu mengumumkan bahawa pasukan Druze telah tiba untuk melepaskan bandar itu daripada pendudukan Perancis.[ruj 19] Ramai penduduk dengan penuh semangat mengalu-alukan pihak pemberontak dan beberapa orang penduduk juga memegang senjata untuk bersama dengan mereka. Pasukan al-Kharrat menawan balai polis di kawasan itu, lalu mengusir garison di situ.[ruj 19] Mereka disertai oleh Ramadan al-Shallash, komander pemberontak dari Deir ez-Zor dan dua puluh orang pejuang Badwi. Pasukan bersama itu bergerak ke pasar Hamidiyah lalu menawan Istana Azm,[ruj 19][ruj 20] tetapi Jeneral Sarrail tiada ketika itu kerana menghadiri mesyuarat di pekan Daraa, Hauran.[ruj 19] Para pemberontak menjarah dan membakar istana tersebut.[ruj 19] Provence menyatakan bahawa penawanan istana tanpa kehadiran Sarrail "tidak mempunyai kepentingan taktikal" tetapi merupakan pencapaian simbolik untuk para pemberontak kerana Istana Azm "adalah penting sebagai kerusi kuasa iktisad dan siasah yang bersejarah di Damsyik, kini dirampas oleh Perancis dan benar-benar tidak dipertahankan".[ruj 19]

Semasa al-Kharrat menawan Istana Azm, al-Bakri dan 200 orang pemberontak di bawahnya memasuki bandar dan mereka disertai oleh orang awam dalam jumlah yang meningkat.[ruj 19] Selepas menggenggam Kota Lama untuk menghindari kemasukan pihak musuh, al-Kharrat mengeluarkan perintah untuk membunuh sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan pihak Perancis.[ruj 20] Kira-kira 180 orang tentera Perancis telah dibunuh.[ruj 20] Sarrail mengarahkan untuk membuat serangan dan pengeboman udara di bandar itu, yang berlangsung selama dua hari dan membunuh kira-kira 1,500 orang.[ruj 21] Kekacauan dan pertarungan berlaku di kawasan kejiranan, masjid-masjid dan gereja-geraja ditutup, pasukan Perancis bergerak masuk dan beratus-ratus orang tokoh utama dalam pergerakan kebangsaan Syria ditahan,[ruj 20] termasuklah anak lelaki al-Kharrat, Fakhri.[ruj 6] Fakhri ditahan pada 22 Oktober ketika serbuan malam hari yang dilakukan oleh pihak pemberontak terhadap Perancis, yang pada waktu itu telah mengambil semula Damsyik.[ruj 13] Al-Kharrat ditawarkan supaya anak lelakinya dilepaskan sebagai pertukaran penyerahan olehnya, tetapi beliau menolak.[5]

Pihak pemberontak berundur dari Damsyik semasa perjumpaan diadakan antara komander tentera Perancis, Maurice Gamelin dan delegasi tokoh-tokoh penting Damsyik.[ruj 22] Hasil daripada mesyuarat itu, pihak Perancis bersetuju untuk mengakhiri misi pengeboman mereka dengan bayaran 100,000 lira emas Turki pada 24 Oktober.[ruj 21] Bayaran tersebut tidak dibuat oleh pihak Perancis, tetapi misi pengeboman tidak diteruskan atas perintah daripada pemerintah Perancis di Paris.[ruj 23] Kecaman pihak antarabangsa terhadap pengeboman di Damsyik dan kritikan berterusan di Perancis terhadap pengendalian dalam menangani pemberontakan menyebabkan Sarrail dipecat pada 30 Oktober.[ruj 24] Beliau digantikan oleh ahli politik Henry de Jouvenel,[ruj 25] yang telah sampai di Syria pada bulan Disember.[ruj 26] Pada 22 November, al-Kharrat mengarahkan 700 orang pemberontak bertempur dengan kira-kira 500 orang tentera Perancis di luar Damsyik.[6] Menurut Reuters, pasukan al-Kharrat memberikan kekalahan "kecil" kepada Perancis, tetapi mereka mengalami jumlah korban yang ramai dengan tiga puluh orang maut dan empat puluh orang lagi tercedera.[6] Pada 5 Disember, al-Kharrat merupakan salah seorang komander pasukan pemberontak berjumlah 2,000 orang yang mempunyai latar belakang berbeza, yang menyerang berek-berek tentera Perancis di al-Qadam, selatan Damsyik. Pihak Perancis mendakwa telah menyebabkan korban yang besar, tetapi kegiatan pemberontak diteruskan.[ruj 27]

Ketegangan dengan pemimpin pemberontak yang lain

Perintah dan pengawasan berpusat dalam kalangan pemberontak bersenjata adalah sukar untuk diwujudkan kerana terdapat kepelbagaian dan kebebasan dalam faksi-faksi pemberontak. Satu pertemuan antara para pemimpin pemberontak diadakan di kampung Saqba, Ghouta pada 26 November.[ruj 28] Sa'id al-'As menuduh al-Kharrat dan lain-lain melakukan penjarahan di Ghouta,[ruj 29] manakala al-Kharrat mendakwa al-Shallash memeras penduduk al-Midan dan pekan Douma.[ruj 30] Pertemuan itu berakhir dengan perjanjian untuk memilih pemerintah bagi menggantikan pihak berkuasa Perancis, meningkatkan pengambilan dalam kalangan penduduk Ghouta, menyelaras operasi-operasi ketenteraan di bawah perintah berpusat dan menubuhkan mahkamah revolusioner untuk menghukum mata-mata.[ruj 29] Pertemuan itu juga menetapkan kawasan di antara kampung Zabdin dan utara jalan Douma–Damsyik dijadikan sebagai zon operasi al-Kharrat.[ruj 29] Walaupun beliau memainkan peranan utama dalam usaha pemberontakan, al-Kharrat tidak dimasukkan dalam majlis kepimpinan pemberontak yang baru dibentuk ataupun dalam mana-mana sekutu al-Bakri. Sebaliknya, al-'As dilantik sebagai ketua bagi seluruh pasukan pemberontak.[ruj 29]

Perpecahan ketara dalam kalangan faksi pemberontak mula kelihatan semasa pertemuan kedua di Saqba pada 5 Disember. Menurut wartawan Syria Munir al-Rayyes, permusuhan antara al-Kharrat dan al-Shallash sememangnya sangat diketahui oleh para pemberontak.[ruj 28] Kerana al-Shallash mengenakan cukai perang terhadap tuan-tuan tanah dan golongan elit besar bandar Ghouta, penyumbang al-Kharrat, al-Bakri memandangnya sebagai satu ancaman kepada kelas pemilik tanah tradisional yang termasuk al-Bakri.[ruj 31] Al-Rayyis mendakwa pertemuan diadakan untuk memanggil al-Kharrat,[ruj 32] yang mengarahkan para pejuangnya untuk menangkap dan membawa al-Shallash ke Saqba.[ruj 33] Walau bagaimanapun, menurut al-'As, pertemuan itu dipanggil oleh al-Shallash dan apabila al-Shallash tiba di kampung itu, al-Kharrat secara peribadi menahannya lalu merampas kuda, senjata dan duitnya.[ruj 33]

Setelah ditahan, al-Shallash dibicarakan secara ringkas yang mana al-Kharrat menuduh beliau membuat "pengenaan dan mengumpulkan wang tebusan dan hasil kewangan atas nama pemberontak", manakala al-Bakri menuduh beliau secara khusus kerana memeras penduduk Douma sebanyak 1,000 giney (paun Uthmaniyyah),[ruj 28] dan mengenakan denda berat terhadap penduduk Harran al-Awamid, al-Qisa dan Maydaa untuk kekayaan sendiri.[ruj 34] Al-Kharrat dan al-Bakri memutuskan untuk menghukum al-Shallash dan mengusir beliau daripada kumpulan pemberontak.[ruj 31] Walaupun ramai pemberontak dengan latar belakang yang serupa seperti al-Shallash tidak bersetuju dengan keputusan itu, mereka tidak campur tangan.[ruj 28] Dalam catatan pertemuannya itu, al-Rayyis mengecam komander pemberontak yang bersikap berpuas hati dalam "perbicaraan mengarut" tersebut dan menuduh al-Kharrat didorong oleh permusuhan peribadi semata-mata.[ruj 32] Al-Shallash dapat melarikan diri—atau dilepaskan oleh al-'As—apabila pesawat Perancis mengebom di kawasan pertemuan itu.[ruj 33] Al-Shallash kemudiannya menyerah diri kepada Jouvenel lalu bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis.[ruj 35]

Rujukan

WikiPedia: Hasan al-Kharrat http://nla.gov.au/nla.news-article67628990 http://m.friendfeed-media.com/99b18b89a44867df1920... //www.worldcat.org/oclc/234199 https://books.google.ca/books?id=4_Cvhg3YHIoC&pg=P... https://books.google.com/?id=3FRtAAAAMAAJ&dq=%22Ha... https://books.google.com/?id=dGptAAAAMAAJ&dq=editi... https://books.google.com/books?id=-WYVCxd_losC&pg=... https://books.google.com/books?id=D4Us4_x8M4kC&pg=... https://books.google.com/books?id=GF51Sml5WpcC&pg=... https://books.google.com/books?id=XU4hAwAAQBAJ&pg=...